Shukri faham perasaan Syafiq Kyle


KUALA LUMPUR: Pelakon Shukri Yahaya mengakui, masih terkesan dengan insiden dituduh menggoda peminat di sebuah aplikasi laman sembang, tahun lalu, malah mengambil masa yang lama untuk memadam episod hitam itu.
Insiden itu kata Shukri, 30, banyak mematangkan dan membuatkan dia lebih berhati-hati supaya tidak lagi terkait dalam kontroversi.
Pelakon yang popular menerusi drama 7 Hari Mencintaimu itu berkata, dia memahami perasaan Syafiq Kyle, 26, yang dikaitkan dengan isu rakaman video lucah yang tular, minggu lalu.
"Saya banyak habiskan masa dengan bekerja untuk melupakan insiden itu. Sejak itu, saya menjadi semakin berhati-hati supaya tidak lagi terkait dengan isu yang mengaibkan diri dan nama baik keluarga.
"Apabila perkara yang sama berlaku kepada artis lain, saya turut merasainya. Sama seperti Syafiq, saya juga berdepan kontroversi itu pada bulan mulia. Sedikit-sebanyak saya memahami perasaannya dan berharap dia tabah mengharungi dugaan itu," katanya.
Bimbang insiden yang sama berulang, Shukri yang ditemui pada majlis tayangan eksklusif drama Pelangi Cinta di sini, berkata, dia juga berdepan cabaran untuk memulihkan kembali kepercayaan isterinya, Tya Adnan.
"Saya ambil masa yang lama untuk meyakinkan isteri supaya mempercayai saya. Sepanjang tempoh itu, saya banyak berdiam diri dan bermuhasabah. Jika boleh dipadamkan, sudah lama saya melakukannya. Saya tidak mahu orang ramai mengingatinya lagi.
"Ketika itu, saya sangat tertekan apabila ramai yang bertanya. Saya keberatan menghadiri majlis hiburan dan acara tertentu kerana bimbang perkara itu diungkit. Nama saya terjejas, namun Alhamdulillah saya mendapat banyak sokongan untuk kembali bangkit," katanya.
Setahun lalu, nama pelakon Andainya Takdir itu dilanda kontroversi gara-gara penyebaran paparan mesej menggoda wanita dalam aplikasi WeChat.

src : bharian.com.my

0 Response to "Shukri faham perasaan Syafiq Kyle"

Post a Comment

close
==[ Click 2x to Close]==