- Details
Published thwart Friday, 01 June 2018 14:57
Pelakon Amyra Rosli mengakui awalnya dia berasa janggal apabila tidak boleh mengenakan walau secalit solekan untuk melakonkan wataknya sebagai Nur dalam drama yang kini menjadi perbualan hangat netizen, Nur, yang ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3.
Menganggap ia satu cabaran, Amyra bagaimanapun berkata lama-kelamaan berlakon tanpa solekan memberikan keselesaan pada dirinya malah merasakan dia dapat menjiwai wataknya dengan baik.
"Separuh cerita dalam drama ini saya tidak memakai walau secalit bedak. Pada awalnya apabila pengarah memberitahu saya tidak perlu memakai make-up, saya terkejut.
Bukan lah bermaksud saya nak nampak cantik sepanjang masa dalam drama itu tetapi saya ingin tahu kenapa watak saya tidak perlu di make-up.
"Selepas mendapat penjelasan daripada pengarah, saya faham dan memberanikan diri untuk 'naked face'. Awalnya rasa janggal tapi lama-kelamaan saya semakin biasa tanpa solekan apabila berlakon malah saya rasa saya dapat jiwai lagi watak itu.
"Saya rasa lagi bebas dan mudah sebagai contoh, kalau call time saya jam 8 saya sampai di set jam 9 sebab saya tak perlu make-up, baju saya pun kalau kedut tak perlu di gosok sebab sesuai dengan watak Nur," tuturnya.
Amyra yang kini tampil dengan imej berambut pendek ditemui pada Previu Program Syawal 2018 Rangkaian Televisyen Media Prima, bertempat hotel New World, Petaling Jaya, kelmarin.
Dalam pada itu isteri kepada pelakon Amar Baharin ini berkata, dia terbuka hati dan tertarik untuk menerima tawaran melakonkan watak sebagai pelacur selepas membaca sinopsis dan jalan cerita naskah arahan Sharulezad Mohameddin itu.
Tambah membuatkan dia teruja apabila mengetahui drama tersebut turut dibintangi pelakon senior yang hebat seperti Noor Khairiah, Fatimah Abu Bakar, Azhan Rani dan Datuk Jalaludin Hassan.
"Memang mulanya saya takut nak terima tawaran sebab masa penggambaran drama ini anak saya pun baru empat bulan, masih kecil dan saya ingat saya nak berehat lagi. Malah ada beberapa tawaran lain yang saya tolak.
"Tapi selepas baca sinopsis saya rasa drama ni ada sesuatu dan menarik perhatian saya. Satu lagi yang meguatkan lagi jalan ceritanya ialah barisan pelakon yang terdiri daripada pelakon hebat dan memang saya kagumi. Jadi saya tidak mahu lepaskan peluang untuk berlakon bersama mereka.
"Sejujurnya takut juga nak bawakan watak Nur. Saya tak kisah berlakon jadi orang susah cuma saya tak suka watak gelap macam ni. Tapi selepas saya baca skripnya, ia bukanlah karakter yang ke arah memerlukan saya dedahkan badan," ujarnya
Dia turut meluahkan rasa syukur kerana sejak dari awal tayangan drama itu sehingga sekarang, lakonannya mendapat komen dan respon yang positif daripada penonton.
"Alhamdulillah, setahun tidak berlakon dan ini kira comeback saya. Bukan saya saja, malah beberapa pelakon senior lain dalam drama ni seperti kak Khiriah da Fatimah Abu Bakar yang sudah lama tidak berlakon.
"Satu permulaan yang baik kerana setakat ini komen-komen peminat di laman sosial 90 peratus positif. Mungkin juga kerana cerita ini dekat dengan masyarakat dan watak-watak berkaitan dengan realiti.
"Ada juga yang komen, mereka suka cara saya lakonkan watak kali ini sebab selama ini saya banyak berlakon sebagai anak orang kaya,"katanya
Amyra juga berkata dia mudah mendapat keserasian sepanjang bergandingan dengan Syafiq Kyle yang melakonkan watak sebagai Ustaz Adam.
"Sebelum ini pun sudah beberapa kali saya berlakon bersama Syafiq dalam drama lain dan untuk kali ini seperti biasa kami tiada masalah, semuanya okay," ujarnya.
Dalam pada itu ditanya mengenai imej terbarunya, akui Amyra pada mulanya dia berasa ragu-ragu untuk membuat keputusan memotong rambut kerana bimbang sukar disesuaikan dengan watak pada masa akan datang.
Namun disebabkan dia mengalami keguguran rambut selepas bersalin jadi dia nekad mengorbankan rambutnya disamping menginginkan imej yang lebih segar.
"Selama bergelar pelakon, sudah lapan tahun saya tidak potong rambut. Mulanya takut juga nak potong sebab ada rakan artis cakap nanti susah nak sesuaikan dengan karakter. Tapi sejak kebelakangan ini rambut saya sering gugur jadi saya ambil keputusan potong.
"Selain itu saya rasa sempena kemunculan semula saya ini, saya perlukan 'fresh look' dan tampil dengan imej yang sedikit berbeza," tuturnya.
Sincery Berita Panas
SRC: http://malaysiandigest.com/hiburan/740454-kerana-nur-amyra-berani-naked-face.html
powered by Blogger Image Poster
0 Response to "Kerana 'Nur' Amyra Berani 'Naked Face'"
Post a Comment