SELEBRITI dan usahawan produk Muslimah, Neelofa menyarankan
kerajaan agar membantu peniaga dalam talian antaranya dengan menyusun
semula agensi yang bertanggungjawab terhadap pengusaha industri kecil
dan sederhana (IKS) agar tidak lagi berlaku pertindihan bidang kuasa.
Beliau yang hari ini dijemput memberikan taklimat kepada Majlis
Penasihat Kerajaan juga berkata, kerajaan perlu memainkan peranan untuk
mengekang produk tiruan serta mempermudahkan peniaga memohon dana dan
geran.
"Saya kongsikan macam mana untuk usahawan hendak mohon kelulusan KKM
(Kementerian Kesihatan Malaysia), halal jadi semuanya boleh berada di
bawah satu bumbung.
"Semua agensi seperti Teraju, Mara, SME Corp (juga diharap) dapat
memberi hala tuju supaya mereka tahu apa mereka buat," katanya kepada
wartawan selepas sesi taklimat kepada majlis penasihat yang
dipengerusikan Daim Zainuddin pagi tadi.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, semua
agensi berkenaan wajar distruktur semula supaya ada hala tuju yang
jelas.
Beliau juga berharap kerajaan akan dapat mempermudahkan urusan
permohonan dana dan geran, termasuk dengan mengurangkan prosedur yang
perlu dipatuhi.
Menurut Neelofa, beliau hanya berkongsi pandangannya dari perspektif
perniagaan beliau, Naelofar Hijab termasuk cabaran yang dihadapi dalam
industri perniagaan itu.
"Contohnya macam produk tiruan. Kita pernah bekerjasama dengan KPDNKK
dan Kastam tapi kosnya sangat tinggi untuk kita sambung untuk
selesaikan masalah.
"Saya cadangkan pada majlis penasihat, mungkin bila kita buat laporan
mereka bekerjasama dengan SKMM untuk terus tutup akaun palsu orang yang
menjual barang tiruan," katanya lagi.
Sebuah penyelidikan pasaran Asia Tenggara tahun lalu mengunjurkan
kelompok pengguna wanita Muslim yang digelar "hijabista" menjana ekonomi
sehingga AS$1.9 trilion (RM7.5 trilion).
Kajian Reuters mengenai kedudukan ekonomi Islam global pula mendapati
sektor gaya hidup Muslim berkembang dengan pesat pada kadasr sekali
ganda berbanding ekonomi dunia secara amnya.
Neelofa,
29, mempunyai ribuan agen dalam serta Singapura dan Brunei.
Perniagaannya dilaporkan bakal meraih jualan sebanyak RM200 juta tahun
ini. Beliau juga dilaporkan mempunyai hampir 700 pengedar sah serta
memiliki tiga butik utama yang menggaji lebih 80 pekerja termasuk lima
pereka fesyen.
Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif Fashion Valet (FV),
Vivy Sofinas Yusof berkata, sokongan, kepakaran teknologi dan
penguasaan Bahasa Inggeris mampu memacu sektor e-dagang tempatan ke
peringkat all-inclusive yang lebih luas.
"Sebagai usahawan e-dagang, kami memerlukan lebih banyak sokongan
daripada kerajaan dan pada masa sama mahukan lebih ramai pakar dalam
teknologi untuk menghadapi cabaran masa ini.
"Pada masa sama, usahawan juga perlu bersedia untuk meningkatkan
penguasaan Bahasa Inggeris bagi menjadikan mereka lebih berkeyakinan
untuk berdepan dengan orang lain," kata pengasas FV yang merupakan salah
satu daripada model e-dagang fesyen terkemuka di Asia Tenggara.
Neelofa dan Vivy Yusof pernah dinamakan oleh majalah Forbes sebagai
antara xxx tokoh penggerak Asia di bawah umur 30 tahun, dalam kategori
peruncitan dan e-dagang.
Mereka adalah antara penggerak industri yang dipanggil untuk memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan hari ini.
Antara yang turut dipanggil hari ini termasuk pengarah GRV Toy Store
Sdn Bhd, Mustakim Manaf, pemegang francais kedai permainan Hamleys di
Malaysia dan Singapura serta Burhanuddin Radzi, pengasas Les Copaque
Production, syarikat animasi yang menghasilkan siri kartun Upin dan
Ipin.
LIHAT VIDEO DI SINI
Sincery Berita Panas
SRC: http://dialograkyat.blogspot.com/2018/06/neelofa-cadang-kerajaan-bantu-peniaga.html
powered by Blogger Image Poster
0 Response to "Neelofa cadang kerajaan bantu peniaga dalam talian"
Post a Comment